KAJI Selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) menunjukkan kira-kira 2.6 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes pada 2012.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman, bilangan pesakit diabetes di Malaysia meningkat sebanyak 31 peratus dalam tempoh lima tahun berbanding pertambahan 11.6 peratus pada 2006 bagi setiap orang dewasa berumur 18 tahun dan ke atas.
Pada masa ini, dianggarkan terdapat lebih 5.6 juta pesakit diabetes di negara ini dan 25 peratus daripada jumlah itu mengalami komplikasi kaki yang serius dan memerlukan penjagaan luka yang betul.
“Ramai pesakit diabetes sedar betapa pentingnya penjagaan luka di kaki kerana mahu mengelak ia dipotong. Namun ramai yang tidak menyedari bahawa risiko diabetes bukan sekadar lumpuh kaki.
“Mereka juga berisiko untuk mendapat retinopati diabetes penyebab buta,” ujar Pakar Optamologi, Pusat Perubatan Tropicana di Petaling Jaya, Dr. Khor Sim Ee.
Jelas beliau, retinopati diabetes adalah gangguan pembuluh darah di retina mata pesakit diabetes melitus. Kerosakan tersebut berlaku disebabkan komplikasi penyakit diabetes yang boleh menyebabkan penglihatan mata merosot dan membawa kepada buta jika pesakit tidak mendapatkan rawatan sewajarnya.
“Ramai pesakit muda tidak begitu mementingkan kesihatan mata sedangkan ia merupakan penyebab utama kebutaan bagi golongan belia yang baru bekerja,” katanya.
“Kebanyakan pesakit mula mengalami retinopati ini selepas 20 tahun menghidap diabetes.
“Akibat daripada komplikasi tersebut, saluran darah pada retina dan bebola mata menjadi lemah, mudah bocor dan tersumbat.
“Kebocoran tersebut mengakibatkan lemak, air dan darah memasuki retina sekali gus menjadikannya bengkak.
“Keadaan bengkak ini pula menjadi punca pandangan pesakit kabur. Ada masanya saiz serta bentuk objek yang dilihat berubah-ubah.
Bocor
“Jika keadaan ini berterusan, pesakit akan mendapati pandangan mereka diganggu oleh bintik-bintik hitam,” jelasnya.
Tambah Sim Ee, disebabkan komplikasi diabetes juga, kesihatan mata mula menyusut. Retina akan kekurangan oksigen dan zat-zat yang diperlukan untuk kekal sihat.
“Memandangkan adanya permintaan oksigen dan zat pada retina, saluran darah baharu akan tumbuh di permukaan retina untuk menampung kekurangan itu.
“Malangnya, saluran darah baharu tersebut bersifat kurang matang. Dindingnya mudah pecah dan pendarahan berlaku di belakang mata. Akibatnya, penglihatan menjadi kabur.
“Secara fizikalnya keadaan mata tidak berubah. Ia kelihatan seperti mata normal.
“Disebabkan itu, setiap pesakit diabetes perlu menjalani pemeriksaan mata.
“Bagi pesakit peringkat pertama, iaitu penghidap diabetes kanak-kanak dan remaja, mereka perlu menjalani pemeriksaan ini selepas lima tahun didiagnosis menghidap penyakit ini. Ini kerana kesan komplikasi tidak dapat dikenal pasti pada lima tahun pertama.
“Bagi pesakit diabetes peringkat dua yang melibatkan penghidap berusia 30 tahun ke atas, mereka harus menjalani ujian saringan ini sebaik sahaja disahkan mendapat diabetes,” katanya.
Jika mereka tidak mendapatkan rawatan awal dan keadaan mata sudah teruk, Sim Ee menambah, parut akan terhasil pada retina mata.
“Ini menyebabkan urat saraf lekang daripada lapisan dalam mata dan membentuk glaukoma yang juga punca kebutaan.
Tidak boleh ditukar
“Jika pesakit datang awal, sekurang-kurangnya kita boleh memberi rawatan untuk mengekalkan penglihatan yang ada.
“Jika sudah terlewat, retina yang rosak teruk tidak boleh diselamatkan lagi. Pesakit akan berdepan masalah buta seumur hidup kerana retina tidak boleh ditukar atau ditransplan, tidak seperti kornea,” jelasnya.
Bagi pesakit retinopati diabetes, ada beberapa kaedah rawatan untuk menyelamatkan mata mereka.
Antaranya, rawatan laser. Kaedah ini dapat membantu mengawal penyakit daripada merebak ke peringkat yang lebih serius.
“Pesakit juga boleh mendapatkan rawatan suntikan ubatan tertentu. Selain itu, pembedahan boleh dilakukan untuk membuang darah, lemak dan air yang bergenang di dalam bebola mata.
“Pesakit diabetes perlu tahu, selain risiko kehilangan kaki, mereka juga berdepan dengan risiko komplikasi mata kalau mereka tidak mengawal penyakit tersebut dengan baik.
“Risiko ini tidak boleh dihilangkan namun dengan pengawalan yang baik, risiko tersebut dapat dilambatkan perkembangannya.
“Sekiranya seseorang itu patuh kepada arahan doktor, dia mungkin mengambil masa selama 10 tahun sebelum kerosakan retinanya beralih dari peringkat permulaan ke pertengahan.
“Namun, jika pesakit tersebut tidak begitu menjaga kesihatannya, tidak mustahil dalam tempoh lima tahun, dia akan buta,” katanya.