Anuar zain...
|
BUKAN mudah untuk mendapat peluang mengadakan satu sesi fotografi bersama dua orang penyanyi popular, Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah lantaran kesibukan jadual masing-masing.
Akhirnya, peluang tersebut terlaksana apabila Anuar dan Dayang telah hadir pada sesi fotografi yang diaturkan sempena mempromosikan album terbaharu mereka iaitu Anuar Dan Dayang Live At Dewan Filharmonik Petronas yang kini sudah berada di pasaran.
Biarpun tujuan utama adalah untuk mempromosikan album berkenaan, tetapi dapat bertemu kedua-dua penyanyi yang boleh dikategorikan sebagai gred A itu pada masa yang sama telah memberi peluang untuk mencungkil lagi cerita-cerita menarik tentang mereka berdua.
Antaranya, mengenai status hubungan yang terjalin antara mereka memandangkan agak kerap digandingkan bersama dalam pelbagai persembahan nyanyian yang diaturkan sehingga ada yang beranggapan mereka bercinta.
Bagi menjawab segala persoalan yang timbul tentang status hubungan mereka itu, Anuar menjelaskan langsung tiada jalinan cinta antara dia dan Dayang.
"Kalau orang melihat kami beraksi mesra di atas pentas ketika menyanyi bersama-sama, ia tidak bermakna kami ini bercinta kerana apa yang kami lakukan itu sebagai satu cara penghayatan ketika menyanyi.
"Saya sudah agak lama mengenali Dayang iaitu sejak tahun 1999. Secara jujurnya saya menganggap dirinya tidak lebih sekadar seorang adik dan berasa agak pelik kalau ada yang menyangka kami ini bercinta," jelasnya mengenai status hubungannya dengan penyanyi kelahiran Sarawak itu.
Apa yang menariknya, Anuar turut mendedahkan bahawa kemesraan yang ditampilkan itu telah menyebabkan ramai yang suka dengan gandingan mereka sehingga ada yang menyuruh mereka berkahwin memandangkan kedua-duanya masih solo.
"Ketika menjayakan sesebuah persembahan ada peminat bertanya kepada saya tentang khabar Dayang kerana menyangka kami bercinta, sedangkan kami memang amat jarang bertemu memandangkan masing-masing sibuk.
"Terdapat beberapa kejadian lucu yang saya alami apabila terdapat peminat yang menyuruh saya berkahwin sahaja dengan Dayang kerana dia suka melihat keserasian kami," ujarnya.
Ketika ditanya apa yang menyebabkan dia kerap memilih Dayang sebagai rakan duetnya ketika mengadakan persembahan, Anuar menyatakan, dia begitu kagum dengan vokal dan bakat yang dimiliki oleh penyanyi yang popular menerusi lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu.
Mengakui terlalu selektif terhadap pemilihan penyanyi yang akan bergandingan dengannya, adik kepada Ziana Zain itu menjelaskan, dia lebih selesa bekerjasama dengan penyanyi yang rapat dengannya.
|
"Tidak dinafikan di Malaysia memang ramai penyanyi wanita yang sangat hebat, tetapi saya cuma memilih individu yang rapat dan sudah lama kenal supaya kerjasama itu menjadi lebih mudah.
"Bukan mahu terlalu memuji Dayang kerana secara ikhlasnya saya melihat dia merupakan antara penyanyi wanita yang hebat. Kalau menyanyi dalam keadaan sistem bunyi yang teruk dia masih mampu menampilkan persembahan yang baik," ujarnya.
Menurutnya, sebelum ini dia sudah berduet dengan beberapa penyanyi wanita lain seperti Hetty Sarlene, Hunny Madu dan Amy Mastura. Namun begitu, sehingga kini dia belum pernah berkolaborasi dengan kakaknya sendiri.
"Permintaan itu memang ada dan sudah ada perancangan serta beberapa buah lagu telah dipilih, tetapi kombinasi suara kami memang tidak sesuai untuk berduet bersama," jelasnya.
Berkenaan dengan album Anuar Dan Dayang Live At Dewan Filharmonik Petronas, ia mengandungi 14 buah lagu dan empat daripadanya menampilkan duet mereka menerusi lagu Bila Resah, Mana Mungkin, Biar Akhirnya Di Sini dan Sedetik Lebih.
Komposer luar
Bercerita lebih lanjut mengenai aktiviti seni terbaharunya, Anuar memberitahu, dia sedang menghasilkan sebuah album khas menerusi rakaman konsert solo pertamanya iaitu Anuar Zain - Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari pada 17 Februari lalu di Stadium Malawati, Shah Alam.
Menurut Anuar, pada tahun ini buat pertama kalinya dia tidak terlibat dalam sebarang persembahan untuk Minggu Setiausaha seperti kelaziman kerana telah menganjurkan konsert tersebut.
"Album khas ini dihasilkan atas permintaan ramai dan selepas itu saya akan memberikan tumpuan pula kepada penerbitan album baharu yang dijangka akan siap pada tahun hadapan.
"Pemilihan lagu pula masih lagi belum dilakukan, tetapi saya akan tampilkan konsep yang lebih ceria. Mungkin saya akan terus memilih lagu yang dihasilkan oleh komposer dari Indonesia," jelasnya.
Apabila diminta mengulas mengenai dirinya yang menggunakan khidmat komposer luar seperti album terdahulu, penyanyi itu menyatakan, langkah tersebut memberi kesenangan dalam proses pemilihan lagu.
Bukan hendak menafikan kebolehan dan kepercayaan komposer tempatan, tetapi Anuar menyatakan kebanyakan mereka agak sibuk kerana perlu menghasilkan lagu untuk penyanyi yang lain.
|
"Saya akui komposer di Malaysia memang ramai yang hebat dan bagus, cuma kalau saya hendak menggunakan khidmat komposer pilihan sendiri, ramai yang tidak boleh buat kerana terlalu sibuk.
"Jadi, saya lebih suka mengambil pendekatan dengan memilih lagu-lagu yang dihasilkan komposer Indonesia kerana lebih banyak pilihan yang dapat dibuat," ujarnya.
Selesa bersama
Dilihat agak malu-malu apabila mendapat pujian yang melambung, ternyata Dayang Nurfaizah tetap merendah diri dan berasa sangat bertuah kerana menjadi pilihan Anuar Zain untuk berkolaborasi bersama.
Berhubung dengan dirinya yang dikatakan mempunyai ikatan istimewa dengan penyanyi tersebut, Dayang turut beranggapan bahawa Anuar seperti seorang abang memandangkan pengalamannya yang luas selama 30 tahun dalam industri nyanyian.
"Kalau ada yang menyangka saya dan Anuar bercinta, ia merupakan satu perkara yang cukup pelik. Ternyata tidak terlintas langsung untuk kami bercinta dan kemesraan yang ditampilkan pula atas dasar profesional.
"Tidak dinafikan agak ramai peminat yang mahu melihat kami berdua berkahwin, cuma kami lebih selesa kalau berkolaborasi bersama di pentas nyanyian atau menerusi album," ujarnya yang masih belum memiliki teman lelaki.
Berkenaan dengan projek kolaborasi seterusnya bersama Anuar, penyanyi tersebut menyatakan belum ada perancangan lagi buat masa ini. Namun begitu, dia tidak akan menolak sekiranya dapat bergandingan bersama pada masa akan datang.
Mengenai projek terbaharunya pula, Dayang menjelaskan dia baru sahaja selesai merakamkan sebuah single berjudul Bisikan Rindu untuk lagu tema drama bersiri Dahlia.
Selain itu, dia akan menjayakan sebuah showcase di The Venue, Pavillion, Kuala Lumpur pada 23 Jun ini.
"Ketika ini saya mahu mempromosikan lagu berkenaan terlebih dulu. Tentang album baharu pula perancangan itu memang ada dan kini sedang dalam proses pemilihan lagu yang sesuai," ujarnya yang kali terakhir menghasilkan album pada tahun 2011 iaitu Sayang & Cahaya.