|
CETEKNYA pengetahuan mengenai agama menyebabkan ramai umat Islam yang mengambil remeh tentang kewajipan berzakat. Mereka seakan-akan terlupa, harta yang diperoleh mempunyai nilai yang perlu dijelaskan sebagai salah satu cara membersihkan pendapatan.
Eksekutif muda dari selatan tanah air, Ridhwan Hanafi Shahnawi, 24, tidak mengetahui bahawa zakat tidak hanya dibayar pada bulan Ramadan. Malah, ada zakat lain yang wajib dijelaskan jika cukup syarat.
"Selama ini, saya hanya mengetahui pembayaran zakat dilakukan pada bulan Ramadan. Sebab itulah saya tidak mengambil berat mengenai perkara ini kerana berasa belum layak untuk menunaikan tuntutan itu," ujarnya ketika ditanya berkenaan ibadah zakat terutamanya zakat harta.
Tanpa disedari, kecetekan pengetahuan Ridhwan sebenarnya turut dikongsi oleh sesetengah umat Islam yang lain. Lebih mengecewakan, terdapat juga golongan dewasa yang tidak mempedulikan rukun Islam keempat itu.
Ini diakui oleh Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan, Nor Mukshar Harun.
"Ada yang berjumpa kami dengan pertanyaan bukankah zakat dibayar pada bulan Ramadan sahaja?
"Saya terkejut kerana masih ramai yang tidak mengambil tahu kepentingan membayar zakat harta," kata Nor Mukshar ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Sebenarnya, zakat mempunyai banyak cabang, tidak terhad kepada zakat fitrah sahaja. Jenis zakat yang lain ialah zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat wang simpanan, zakat saham, zakat KWSP, zakat emas, zakat perak, zakat pertanian dan zakat ternakan.
Sehubungan itu, masyarakat perlu menjalankan tanggungjawab dengan membayar zakat setiap tahun. Hakikatnya, zakat tidak membebankan pembayar kerana jumlahnya bergantung kepada kemampuan mereka.
Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam. Hasil kutipan tersebut akan diagih-agihkan kepada lapan golongan asnaf termasuklah fakir, miskin, amil dan mualaf.
Cukup syarat
Zakat pendapatan merupakan salah satu daripada zakat harta yang dikenakan berdasarkan pendapatan yang diperoleh seseorang.
Apabila cukup syaratnya, mereka perlu membayar dalam satu amaun mengikut perkiraan yang telah ditetapkan.
Secara umum, kadar bayaran zakat pendapatan ialah 2.5 peratus daripada pendapatan yang wajib zakat. Sebagai contoh, jika pendapatan yang layak dizakat ialah RM24,000, nilai zakat yang wajib dikeluarkan ialah sebanyak RM600.
Sementara zakat fitrah pula hanya dibayar pada bulan Ramadan.
Kewajipan itu berpandukan kepada firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 60 yang bermaksud:
"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanya untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil dan mualaf yang dijinakkan hati-hati mereka dan hamba-hamba yang hendak memerdekakan dan orang-orang berhutang dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan."
Kutipan zakat tersebut secara tidak langsung dapat menjana ekonomi umat Islam dengan memberi bantuan kewangan kepada perniagaan di samping sebagai kelangsungan hidup golongan penerima.
"Saya mengibaratkan pembayaran zakat ini seperti lalang yang tumbuh di celah-celah tanaman. Jika tidak ditebas, pokok-pokok lain tidak dapat hidup untuk membuahkan hasil," ujar penceramah bebas, A. Ubaidillah Alias ketika dihubungi Kosmo!.
Jelasnya, zakat merupakan satu cara untuk memupuk sifat dermawan dalam diri umat Islam. Ia mentarbiah seseorang untuk membudayakan zakat dalam kehidupan mereka.
"Hikmah zakat ini sangat halus. Ia dapat mengajar kita untuk memberi walaupun sedikit," kata Ubaidillah.
Menurut pandangan penulis novel berciri Islam itu, kefahaman orang ramai terhadap pecahan zakat harta sebenarnya amat jelas, tetapi mereka mengelak kerana tidak mahu melunaskan tanggungjawab.
"Saya yakin semua orang tahu mengenai zakat, tidak kira fitrah atau harta. Ia mempunyai konsep yang sama seperti cukai pendapatan.
"Sikap tidak ambil peduli segelintir masyarakat kita menyebabkan peratusan pembayar zakat harta agak rendah berbanding zakat fitrah," tambah Ubaidillah.
Perkara itu turut diperakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPZ, Mohd. Rais Alias.
"Boleh dikatakan hampir 99 peratus umat Islam membayar zakat fitrah tetapi ramai yang tidak memberi perhatian terhadap zakat harta," kata Mohd. Rais.
Perbezaan ketara antara kedua-dua zakat itu ialah jumlah bayaran. Zakat fitrah dibayar mengikut jumlah yang telah ditetapkan manakala zakat harta bergantung kepada pendapatan individu tersebut selain menepati syarat-syarat utama.
Kutipan zakat harta oleh PPZ jauh lebih banyak berbanding zakat harta iaitu RM402.8 juta pada tahun lalu. Zakat fitrah pula hanya antara RM8 juta hingga RM9 juta.
"Jumlah yang besar itu dapat membantu lebih ramai umat Islam. Justeru, penekanan terhadap zakat harta sangat penting tanpa menolak kepentingan zakat fitrah," jelas Mohd. Rais.
Pendekatan baharu
Sehubungan itu, PPZ mengambil pendekatan baharu dalam memberi informasi mengenai zakat antaranya menggunakan selebriti sebagai pengantara.
"Beberapa bulan lalu, kami mengadakan ceramah agama di kawasan tumpuan ramai dengan menjemput selebriti seperti Diana Amir, Sham Kamikaze dan Yatt Hamzah. Dalam bercerita perihal kehidupan mereka, panel turut menyelitkan kepentingan zakat dalam kehidupan.
"Walaupun ia tidak menyeluruh, tetapi objektifnya sampai kepada pendengar. Kaedah konvensional tidak sesuai dengan situasi sekarang," jelasnya.
Dalam masa sama, kemajuan teknologi turut diselarikan dengan mewujudkan laman web www.zakat.com.my yang kemas kini. Pengguna boleh mendapatkan maklumat terkini, cara pembayaran dan menyelesaikan perkara berbangkit dengan mudah.
Bagi mereka yang masih ragu-ragu sama ada perlu atau tidak membayar zakat, laman web tersebut juga menyediakan sistem taksiran peribadi yang hanya memerlukan pengguna memasukkan maklumat kewangan. Ia akan membuat pengiraan jumlah zakat yang perlu dijelaskan.
"Di samping itu, mereka boleh memuat turun aplikasi iZakat dalam telefon pintar untuk mengakses informasi berkaitan zakat," kata Mohd. Rais.