KUALA LUMPUR - Bapa mertua kepada pelakon, Mohd. Ashraf Muslim kesal dengan tindakan menantunya itu yang bertindak membohongi ahli keluarga termasuk isterinya, Noor Dayana Lokman apabila bernikah kali kedua dengan bekas kru televisyen di Thailand pada 7 Julai lalu, tiga hari menjelang Ramadan.
Lokman Abdul Hamid, 54, selaku pengasas Pusat Perubatan Islam al-Hidayah turut mempertikai tindakan Mohd. Ashraf yang dianggap terburu-buru apabila bernikah dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi tanpa menunggu keputusan mahkamah berhubung permohonan kebenaran poligami yang difailkan pada 9 April lalu.
"Kami sebenarnya menyesal kerana dia tidak maklumkan pada kami termasuk isterinya sendiri. Kalau mahkamah beri keizinan berpoligami, kami reda dan terima keputusan," katanya dengan nada kecewa.
Lokman ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam menegaskan, apa yang dilakukan oleh Mohd. Ashraf, 32, adalah sesuatu yang tidak elok kerana sebelum ini kes mahkamah terpaksa ditangguhkan kerana Dayana, 26, belum melantik peguam.