Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba nama pelakon Farahdhiya kembali 
meledakkan industri seni. Semuanya gara-gara dia didakwa berperangai 
diva ketika menjalani penggambaran drama bersiri Perempuan Dalam Pasungan.
Farahdhiya dituduh bersikap diva kerana meminta bayaran penuh sebelum 
selesai penggambaran. Bukan itu sahaja, pelakon berusia 29 tahun itu 
juga didakwa tidak mahu bercampur dengan orang dan gagal memenuhi waktu 
penggambaran.
Farahdhiya turut dikatakan tidak mahu terbabit dengan penggambaran waktu
 malam disebabkan ingin bermain badminton bersama teman-teman malah 
sering merungut apabila pengurus produksi menukar lokasi penggambaran.
Menjawab perkara itu, Faradhiya menafikan sekeras-kerasnya semua dakwaan
 tersebut. Namun begitu, pelakon berwajah Pan-Asian itu mendedahkan dia 
ada berselisih faham dengan penerbit drama tersebut yang turut berlakon 
sama iaitu Datuk Rafiena Ezanee.
"Sebenarnya bila saya dapat tawaran berlakon drama tersebut, saya sedang
 menjalani penggambaran untuk sebuah telefilem. Saya dapat jadual yang 
mana watak saya terlibat untuk enam hari sahaja.
"Walau bagaimanapun, satu tarikh yang mereka berikan bertembung dengan tarikh penggambaran telefilem yang sedang saya jalani.
"Mereka kata tiada masalah dan boleh ubah tarikh tersebut. Lagipun kata 
mereka penggambaran untuk watak saya cuma dilakukan pada sebelah siang.
"Jadi, saya fikir tiada masalah untuk saya terima tawaran tersebut 
disebabkan ia tidak lagi bertembung dengan waktu penggambaran saya yang 
lagi satu.
"Bila perkara itu selesai saya diberitahu pula bayaran watak saya untuk 
satu hari cuma RM400. Saya tidak boleh terima dan mengatakan bajet 
tersebut terlalu rendah. Akhirnya, mereka setuju dengan bayaran yang 
diminta saya," jelasnya.
Malah ketika hari penggambaran, Farahdhiya yang hadir pada pukul 9 pagi 
di lokasi penggambaran terpaksa menunggu Rafiena selama hampir tiga jam!
Tiada perkataan maaf daripada penerbit tersebut, Farahdhiya yang tidak 
berpuas hati mengadu perkara tersebut kepada pembantu pengarah iaitu 
Diana tetapi malangnya aduan itu tidak diendahkan.
Tidak cukup dengan itu, luah Farahdhiya, dia juga terpaksa menjalani 
penggambaran di Shah Alam, Selangor sedangkan pada asalnya dia 
diberitahu cuma menjalani penggambaran di Kuala Lumpur.
"Saya tidak pernah ada masalah disiplin selama hampir 10 tahun berlakon.
 Apa yang disuruh dan sudah tertera dalam kontrak saya akan ikut", 
katanya.
sumber : Kosmo