Ketahui penyakit bawaan air banjir-menyaksikan banyak kemusnahan harta benda, nyawa melayang dan pelbagai lagi.
Meskipun gelombang bah ini semakin reda, namum penduduk kena bersiap – sedia kerana ia bakal melanda lagi.
Dalam keadaan tidak menentu, jangan menganggap banjir ini satu pesta khususnya kanak-kanak yang gemar bermain air tanpa memikirkan risiko ditanggung seperti dijangkiti penyakit berbahaya.
Pada masa sama, apakah jaminan untuk memastikan mereka tidak terkena jangkitan menerusi banjir yang tercemar itu.
Penyakit berjangkit
Mengulas lanjut mengenai permasalahan ini, Pakar Kesihatan Awam Bahagian Kawalan Penyakit, Dr. Feisul Idzwan Mustapha, berkata kebanyakan orang sudah mengetahui banjir ini dipenuhi dengan pelbagai jenis bentuk kotoran dan kuman.
Kuman itu mungkin datang daripada kandang haiwan, tandas dan tangki septik yang ditenggelami air, sampah dan najis yang disebarkan menerusi air, tikus dan lipas.
Penyakit yang berkaitan dengan banjir seperti keracunan makanan, taun, demam kepialu dan hepatitis A. Kebanyakan kuman air ini menyerang sistem penghadaman dan menunjukkan gejala hampir serupa seperti demam, sakit perut, muntah, cirit-birit dan ruam.
“Air banjir tercemar boleh menyebabkan jangkitan kepada luka, kulit, konjunktivitis dan jangkitan kepada telinga, hidung dan tekak. Manakala bawaan vektor terjadi apabila bekas menakung air menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes dan Anopheles.
Golongan berisiko mudah dijangkiti
“Kesan jangkitan kuman boleh menjadi amat teruk jika tidak diberikan rawatan awal terutama golongan berisiko amat mudah dijangkiti kuman seperti kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Malah, bayi dan kanak-kanak juga adalah golongan yang lebih berisiko mendapat penyakit berjangkit memandangkan sistem imuniti mereka masih belum matang.
Justeru, ibu bapa sebagai pelindung perlu memastikan tahap persekitaran dan makan minum bayi adalah selamat dan bersih.
“Apa yang penting pemakanan dan penyusuan bayi perlu dititik beratkan dan perlu sentiasa prihatin dengan penggunaan air bersih dan dimasak dengan betul serta pastikan kawasan berkenaan bebas daripada pencemaran,” katanya.
Bagi wanita mengandung berhati-hati kerana peringkat awal kehamilan berisiko dan mudah dijangkiti penyakit.
“Ini kerana beberapa jenis kuman boleh menyebabkan keguguran terutama pada trimester pertama atau tiga bulan pertama mengandung. Jika ibu mengalami penyakit serius, janin juga akan mengalami situasi sama,” katanya.
Ketika musim banjir, wanita mengandung harus membawa bersama dokumen berkaitan, ubat-ubatan dibekalkan doktor dan sentiasa bersiap – sedia dengan kelengkapan bersalin terutama yang hampir bersalin.
Bagi warga emas mereka mudah dijangkiti penyakit seperti jantung, diabetes dan darah tinggi dan golongan ini disarankan mematuhi beberapa perkara penting ketika waktu darurat.
Stok ubat cukup
“Pastikan stok ubat mencukupi dan membawa dokumen kesihatan supaya rawatan dapat diteruskan seperti biasa supaya tidak berlaku komplikasi teruk,” katanya yang menjamin pihak Kementerian Kesihatan sentiasa memastikan bekalan ubat-ubatan asas mencukupi ketika banjir dan pasukan perubatan sentiasa ditempatkan di pusat penempatan banjir.
Artikel
Kredit