Cara mendidik anak mengikut islam-islam telah menggariskan pelbagai panduan
kepada umatNya. Antaranya seperti panduan zakat, panduan puasa dan
banyak lagi. Seperti panduan-panduan yang lain, Islam juga telah
menggariskan panduan di dalam mendidik anak menurut islam itu sendiri.
Sabda Rasulullah S.A.W dalam hadisnya yang bermaksud :
“Setiap anak Adam itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibu bapanyalah yang menjadikan ia Yahudi, Majusi dan Nasrani.”
Dalam hadis ini jelas menyatakan bahawa ibu bapa adalah madrasah
iaitu sekolah pertama bagi anak-anak yang menentukan siapa mereka suatu
hari nanti dan guru yang membimbing anak-anak dalam mempelajari asas
pembentukan akidah dan sahsiah diri (keperibadian dan akhlak) sebelum
anak itu dihantar ke institusi pendidikan formal bermula dari tadika,
sekolah dan seterusnya peringkat yang lebih tinggi.
Dalam falsafah pendidikan, aspek rohani dan
jasmani lebih ditekankan kerana sesuai dengan kejadian manusia itu
sendiri yang terdiri daripada roh dan jasad. Ianya berperingkat, bermula
dari dalam kandungan sehinggalah ia lahir dan menjadi dewasa. Mendidik
anak menurut Islam adalah proses mengasuh, mendidik dan melatih rohani
dan jasmani anak-anak berteraskan nilai murni berpandukan Al-Quran,
Hadis serta pendapat dan pengalaman para ulama.
Mendidik Anak Menurut Islam - ketika dalam kandungan
Pendidikan sebenarnya sudah bermula sejak
anak masih di dalam kandungan lagi dan ketika ini pendidikan adalah
lebih kepada pembentukan rohani mereka.
- Bacaan Al-Quran – membaca Al-Quran adalah suatu cara yang di galakkan kepada ibu-ibu mengandung kerana pertalian antara ibu dan anak dalam kandungan sentiasa berhubung. Bacaan yang digalakkan dalam mendidik anak menurut Islam antaranya surah Luqman, Yusuf, Mariam dan At-Taubah.
- Rezeki yang halal – Islam telah menggariskan hukum hakam sesuatu perkara, dan penting bagi ibu bapa berusaha mencari dan memastikan rezeki yang di perolehi adalah daripada sumber yang halal supaya anak yang bakal dilahirkan nanti adalah datang daripada benih dan darah daging yang halal.
- Berdoa – Islam menggalakkan ibu bapa supaya sentiasa memohon doa kepada Allah s.w.t supaya anak yang bakal dilahirkan menjadi anak soleh, beriman, bertakwa, berilmu dan berakhlak mulia.
- Berzikir – Ibu mengandung juga digalakkan supaya banyakkan berzikir dan berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ini secara tidak langsung menanamkan benih-benih Islam kepada anak dalam kandungan sejak awal lagi.
Mendidik Anak Menurut Islam - Setelah Kelahiran Anak
Dunia bagi anak-anak selepas kelahirannya
adalah rumah dan ibu bapa adalah pencorak yang bertanggungjawab mencorak
keperibadian anak dengan sebaik-baiknya. Ibu bapa perlu mewujudkan
suasana yang harmoni dan bercirikan keislaman dalam kehidupan
rumahtangga terlebih dahulu supaya anak dapat di didik dengan
benih-benih Islam dan mencapai kesempurnaan hidupnya.
Sebaliknya, jika pasangan suami isteri itu
gagal menerapkan nilai-nilai Islam dan mengekalkan kerukunan
rumahtangga, sukar bagi ibu bapa mentarbiyah anak-anak mengikut acuan
dan budaya hidup Islam. Berikut dinyatakan antara yang di sarankan dalam
mendidik anak menurut Islam setelah lahirnya anak ke muka bumi ini :
>> Azan
- Menrurt Islam, setelah anak itu dilahirkan, segeralah diazankan pada
telinga kanan dan diqamatkan pada telinga kirinya. Abu Rafi meriwayatkan
sebuah hadis yang bermaksud :
" Aku melihat sendiri Rasulullah s.a.w mengazankan Hasan B. Ali pada telinganya ketika ia baru dilahirkan oleh Fatimah r.a" - [Abu Daud dan Termizi].
>> Manisan
– Setelah kelahiran anak, sebagai makanan pertama yang disarankan dan
sunat menurut Islam adalah manisan seperti madu dan kurma. Abu Musa Al
Asyari r.a. dalam sebuah riwayatnya mengatakan :
"Isteriku
melahirkan seorang anak. Bayi itu ku bawa kepada Rasulullah s.a.w.
Baginda menamakannya Ibrahim, kemudiannya disuap dengan buah kurma (yang
telah dilumatkan), setelah itu baginda mendoakan keberkatan baginya
lalu bayi itu diserahkan kembali kepadaku" - [Bukhari dan Muslim].
>> Aqiqah
– Ibadah Aqiqah dan bersedekah adalah suatu ibadah yang dituntut di
dalam Islam dan sunat di lakukan pada hari ketujuh kelahiran anak. Bagi
anak perempuan seekor anak kambing dan anak lelaki dua ekor kambing.
Sunat mencukur keseluruhan rambut anak agar kepalanya bersih, otak
cerdas dan rambut barunya tumbuh dengan subur. Sabda Rasulullah s.a.w
yang bermaksud :
"Setiap
anak yang baru dilahirkan bergantung kepada aqiqahnya. Hendaklah
diaqiqahkan dengan menyembelih kambing pada hari ke tujuh, diberi nama
pada hari itu dan dicukur kepalanya" - [Abu Daud, Termizi dan Nasa].
>> Selawat dan zikir
– Ketika menyusukan anak, disarankan mendoakan kejayaan anak yang
dizahirkan di dalam hati dan lagukan dengan kalimah memuji Allah dan
RasulNya ketika menidurkan mereka. Ibu bapa perlu membiasakan percakapan
yang baik-baik, selawat dan zikir apabila anak sudah mula pandai
bercakap.
5 hingga 7 tahun adalah peringkat perkembangan akal
anak-anak. Dalam pendidikan menurut Islam, anak-anak pada peringkat ini
wajar didedahkan dengan latihan membaca, mengira, menulis dan berbahasa.
Pada peringkat ini, teknik pendidikan yang lebih luar dan menyeluruh
diperlukan mengikut keperluan rohani dan jasmani yang didedahkan secara
serentak dan diseimbangkan.
Teknik-teknik yang digunakan perlu sesuai dengan
anak-anak ketika ini kerana mereka kebiasaanya akan belajar dan mengikut
berdasarkan pemerhatian terutamanya tingkahlaku daripada individu
sekelilingnya terutama ahli keluarga.
Pendidikan yang wajar didedahkan pada peringkat ini
adalah bab akhlak dan ibadah, terutamanya anak-anak yang sudah meningkat
umur mumayyiz. Apabila mencapai umur 7 tahun, mereka wajar dilatih mendirikan sembahyang dan perlu didedahkan dengan ibadah berpuasa.
Perkara inilah yang perlu diambil perhatian oleh ibu bapa dalam
mewujudkan suasana dan menjadi contoh ikutan anak-anak untuk beribadah
menurut Islam. Sabda Rasulullah s.a.w,
“Suruhlah
anak-anak kamu bersembahyang sejak umurnya tujuh tahun dan apabila
berumur 10 tahun, pukullah mereka jika mereka tidak sembahyang.” [riwayat at-Tirmidzi]
Ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan awal adalah
penting dan Rasulullah s.a.w berpesan kepada ibu bapa supaya menyuruh
anak-anak mendirikan sembahyang lima waktu pada usia tujuh tahun lagi
kemudian menyuruh memukul mereka sekiranya masih meninggalkan sembahyang
pada usia 10 tahun.
Sebenarnya, ini adalah suatu isyarat bahawa pedidikan
itu hanya akan berlaku apabila pengajaran berlaku dalam bentuk amal dan
bukan dalam bentuk kata-kata semata-mata. Ia menunjukkan bahawa hanya
ibu bapa yang terdidik dengan kehidupan Islam dan membina suasan
rumahtangga harmoni yang mampu mendidik anak mengikut acuan yang
dikehendaki menurut Islam.
- Beradab dengan anak-anak – Selain daripada mengajar mereka tentang adab sopan, terlebih dahulu anda perlu menunjukkan peribadi mulia sebagai ibu bapa. Perlu diingatkan, anak-anak di usia sebegini akan meniru segala perilaku ibu bapa mereka.
- Mendidik anak supaya beradab dan taat ibu bapa - timbulkan rasa kesyukuran dan kesedaran kepada anak-anak tentang pengorbanan ibu bapa terhadapnya yang amat besar dan masih mempunyai kedua ibu bapa. Ini dapat mengeratkan hubungan mesra, rasa kasih sayang antara ahli keluarga.
- Mengajar bercakap/bergaul dengan baik - Kanak-kanak biasanya begitu sensitif dengan pendengarannya, ia mudah terikut-ikut dengan apa yang didengarnya. Anak-anak hendaklah dilatih bercakap benar, sopan santun dan mengucapkan perkataan yang baik-baik. Sebab itu jika ibu bapa mahu menegur atau memarahi mereka, hendaklah menggunakan bahasa yang sopan bukannya dengan bahasa yang kasar, kesat dan keras.
- Mendidik anak supaya taat guru dan orang lebih tua - orang yang lebih tua adalah orang yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan daripadanya manakala guru merupakan orang yang bertanggungjawab mendidik dan menyampaikan ilmu.
- Mengajar adab tidur - menurut Islam sebaiknya didiklah anak tidur dengan mengadap qiblat, membersihkan diri sebelum dan selepas bangun daripada tidur. Juga zahirkan doa setiap kali tidur dan bangun daripada tidur.
- Mengajar adab berpakaian - pakaian yang dipilih bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain dan hendaklah menutup aurat.
- Mengajar adab keluar masuk tandas - anak-anak perlu diajar cara masuk ke dalam tandas seperti membaca doa, menutup kepala, membelakangkan qiblat dan sebagainya serta cara membuang air kecil atau besar menurut Islam.
- Mengajar adab makan dan minum - anak-anak perlu dilatih terlebih dahulu dengan adab-adab makan seperti mencuci tangan, duduk dengan sopan serta berdoa sebelum dan sesudah makan. Sifat atau sikap yang tidak sopan seperti gelojoh ketika makan hendaklah ditegah.
- Mengajar adab bergaul - anak-anak harus dinasihatkan agar jangan sekali-kali menyakiti atau mengambil hak orang lain dan tidak berbangga atau meninggi diri di hadapan rakan-rakan sebayanya.
Melahirkan anak yang baik dan sempurna dalam setiap sisi keperibadian menurut Islam sangat rumit dan mencabar, apatah lagi jika ibu bapa itu belum cukup bersedia kerana kurangnya ibadah, ilmu dan iman.
Rasulullah s.a.w adalah seorang pendidik jiwa terulung. Baginda tidak pernah memaksakan suatu perintah agama tanpa bimbingan, pujukan dan janji serta khabar gembira mengenai ganjaran yang baik. Rasullullah s.a.w dalam sabdanya yang bermaksud,
“Apabila matinya anak Adam itu terputuslah baginya segala amalan kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa dari anak yang soleh.” – [Riwayat Muslim]
Anak-anak ini ibarat kain putih dan ibu bapa yang berperanan mencorak dengan warna-warna menarik yang menjadi amalan dan cara hidup menurut Islam dalam kehidupan mereka.
Artikel
Kredit