TAHUKAH anda, manusia akan menjadi semakin rendah apabila meningkat usia?
Fenomena ini bukan mitos, sebaliknya disahkan oleh pakar anatomi, Prof Adam Taylor dari Sekolah Perubatan Lancaster, United Kingdom yang dipetik dari The Guardian, United Kingdom.
Menurut beliau, individu berusia 40 tahun ke atas lazimnya kehilangan kira-kira satu sentimeter ketinggian setiap 10 tahun.
Kajian mendapati, lelaki kehilangan antara 0.08 hingga 0.1 peratus ketinggian badan setiap tahun manakala wanita pula lebih cepat iaitu 0.12 hingga 0.14 peratus setahun.
Taylor menjelaskan, antara punca utama ialah postur badan yang semakin membongkok seiring peningkatan usia. Mereka yang duduk atau berdiri dalam posisi melengkung untuk tempoh lama, terutamanya ketika bekerja di meja, akan mendapati tulang belakang perlahan-lahan menyesuaikan diri dengan kedudukan itu.
Ketinggian berubah setiap hari
Beliau turut mendedahkan, manusia sebenarnya mengalami perubahan kecil dalam ketinggian setiap hari, lebih rendah pada waktu malam berbanding pagi akibat tekanan graviti yang menolak keluar air daripada cakera antara tulang belakang (intervertebral discs).
Taylor berkata, antara usia 30 hingga 35 tahun, ketinggian seseorang mula kekal sebelum beransur menurun apabila jisim tulang dan otot semakin berkurang.
Sumber bharian
Visit: Wansite

