Ketahui perkara yang boleh cepatkan jodoh anda - dalam soal pemilihan jodoh ada yang mudah dan ada yang
sulit. Namun secara hakikatnya, selain kehendak Allah ada juga peranan
kita apabila masih terdapat dosa yang menghalang kita dari dipertemukan
jodoh oleh-Nya. Teruskan membaca artikel ini.
1)PERBUATAN SYIRIK
Umum sudah mengetahui bahawa perbuatan syirik merupakan
perbuatan yang berdosa besar. Syirik bermaksud menyekutukan Allah dengan
sesuatu pada zat, sifat dan af’alnya.
Sebagai contoh, apabila berdepan dengan kelewatan dalam
bertemu jodoh, mereka meminta pertolongan daripada bomoh, tukang tilik
dan sebagainya. Malah ada juga yang mengamalkan sesuatu perkara yang
tidak tertulis dalam dalil Al Quran mahupun sunnah Rasul-Nya. Dengan
melakukan perkara ini, seseorang itu benar-benar tersesat dari jalan
yang lurus.
Allah SWT berfirman:
Sesungguhnya menyekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar (Luqman:13)
Apa yang harus mereka lakukan adalah dengan memperbaiki hubungan dengan Allah dengan memperbanyakkan amal ibadah kepada-Nya.
2)MENINGGALKAN SOLAT
Manusia diwajibkan untuk beribadah (solat) kepada Allah SWT.
“Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah
menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa” (Surah
Al-Baqarah ayat 21)
Solat merupakan ibadah umat Islam yang tidak boleh
ditinggalkan walau sedikit pun. Dengan meninggalkan ataupun jarang
menunaikan solat, ianya juga merupakan salah satu penyebab kenapa Allah
tidak memakbulkan permintaan hamba-Nya. Lebih-lebih lagi dalam soal
jodoh.
Selain meninggalkan solat, mereka yang sering menunda-nunda
solat hingga ke akhir waktu itu juga harus mengubah sikap ini. Alasan
yang diberikan adalah sibuk dengan urusan duniawi sehingga membuatkan
manusia lupa akan ibadah wajib. Maka tidak hairanlah sekiranya Allah
tidak mengutamakan doa-doa yang dipanjatkan orang tersebut termasuk
dalam soal jodoh.
3) MELAKUKAN ZINA
Mereka sering menyalahkan akan takdir ilahi apabila sering
berdepan dengan ujian dan cabaran hidup. Walhal mereka tidak sedar
dengan setiap tindakan mereka yang berterusan melakukan perbuatan zina.
Zina adalah salah satu perbuatan keji yang dibenci oleh Allah SWT.
Dengan kata lain, melakukan zina akan membuat hubungan manusia dengan
Tuhannya menjadi rosak sehingga urusan jodoh pun akan terhalang kerana
dosa tersebut.
Sekiranya anda pernah melakukan zina, segeralah bertaubat
yang bersungguh-sungguh pada Allah dan memohon ampun atas perbuatan itu.
Dengan izin dan sifat-Nya yang Maha Pengampun, Allah akan menerima
taubat seseorang yang ikhlas dan tidak akan mengulangi kesalahannya.
4) DOSA YANG DILAKUKAN PADA KEDUA-DUA ORANG TUA
Ibu dan bapa menjadi sebab hadirnya kita ke muka bumi ini.
Dengan melakukan dosa terhadap kedua-duanya ataupun salah satu
daripadanya maka Allah akan murka dan menutup segala sumber rezeki.
Sumber rezeki yang dimaksudkan itu juga termasuk dengan ‘jodoh’. Hal ini
kerana keredaan ibu bapa adalah sangat penting. Tanpa reda ibu bapa,
Allah juga tidak akan membantu hamba-Nya.
5) MEMUTUSKAN HUBUNGAN SILATURRAHIM
Hubungan silaturrahim perlu dipandang sebagai elemen
penting dalam usaha membina hubungan dengan Allah. Ia sama juga seperti
restu Allah bergantung kepada restu kedua-dua ibu bapa. Namun
mengekalkan hubungan silaturrahim sesama manusia juga akan
mempermudahkan kita dalam mendapatkan rezeki berupa jodoh. Allah SWT
berfirman:
“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara
kerana itu damaikan antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada
ALLAH supaya mendapat rahmat". (Surah Al-Hujurat ayat 10)
Oleh itu, sebagai manusia, jangan sesekali cuba untuk memutuskan hubungan silaturrahim antara sesama manusia.
Kesimpulan
Dengan mengelakkan daripada terjadinya 5 perkara di atas,
kita semua disarankan supaya sentiasa melakukan perubahan ke arah yang
terbaik. Sekiranya anda tidak mempunyai perkara-perkara di atas tetapi
masih juga tidak dipertemukan jodoh, teruskanlah berusaha dan berdoa.
Semoga setiap doa dan permintaan kita dikabulkan oleh yang Maha Esa.
Kredit