
SEBUT sahaja Nuffnang,
 mustahil jenama komuniti pengiklanan blog itu tidak dikenali oleh 
blogger-blogger di seluruh Malaysia. Tidak hairan juga, jenama itu amat 
dikenali di negara-negara jiran terutama Singapura, Australia dan 
Filipina. 
Sumbangan Nuffnang amat
 besar buat komuniti blogger yang menjadikan jenama itu sebagai platform
 untuk menjana pendapatan sampingan yang lumayan. Tidak keterlaluan jika
 dikatakan pendapatan yang diperoleh daripada Nuffnang adakalanya melebihi pendapatan pekerjaan tetap. 
Iklan-iklan daripada Nuffnang yang
 merupakan komuniti pengiklanan blog pertama Asia Pasifik kini boleh 
dilihat di lebih 100,000 buah blog oleh lebih tiga juta orang setiap 
hari. 
Ia membenarkan pengiklan untuk memaparkan iklan grafik dan video di blog-blog dalam pelbagai genre. Kejayaan Nuffnang kini dapat dilihat melalui pembangunan pejabatnya di empat buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Filipina dan Australia. 

Menarik tentang syarikat Nuffnang Sdn.
 Bhd. yang terletak di Kuala Lumpur, ia diteraju jejaka yang baru 
berusia 26 tahun. Timothy Tiah, sebagai pengarah urusan, turut meneraju 
cawangan Nuffnang bersama pengasas bersama, Cheo Ming Shen yang kini menguruskan pejabat di Singapura. 
Menurut Timothy, blogger mampu menjana pendapatan lumayan berdasarkan 
jumlah pelawat blog. Semakin tinggi jumlah pelawat semakin tinggi 
pendapatan sehingga mampu mencapai puluhan ribu ringgit dalam masa 
sebulan. 
"Kami menguruskan iklan-iklan yang akan dipaparkan dalam blog yang 
berdaftar tanpa mengenakan bayaran kepada blogger. Blogger hanya perlu 
menjalankan kerja editorial untuk iklan masing-masing bagi menjana 
pendapatan. 

"Selain
 itu, kami juga menganjurkan majlis-majlis untuk blogger seperti 
tayangan filem, seminar, bengkel, parti dan sebagainya untuk merapatkan 
hubungan sesama komuniti blogger di bawah Nuffnang," katanya. 
Menceritakan kewujudkan Nuffnang,
 Timothy memberitahu idea itu timbul di London ketika dia dan Ming Shen 
berbual mengenai pelan perniagaan mereka apabila pulang ke tanah air. 
Kedua-dua mereka adalah pelajar jurusan perniagaan dan bermula sebagai 
blogger. 
"Kami
 berbincang mengenai perniagaan yang ingin kami jalankan selepas pulang 
ke Malaysia dan Singapura. Kemudian timbul idea untuk berkolaborasi 
mewujudkan Nuffnang selepas mempertimbangkan populariti blog yang semakin meningkat. 

"Kami
 melakukan sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh orang lain dan ia 
mendapat sambutan yang memberangsangkan hanya selepas beberapa tahun 
syarikat itu ditubuhkan," katanya mengenai syarikat itu yang memulakan 
pejabat pertamanya di Pulau Pinang pada tahun 2006. 
Katanya, pada akhir tahun pertama Nuffnang ditubuhkan
 iaitu pada tahun 2007 mereka berjaya mengumpulkan sebanyak 7,523 orang 
blogger dan ia meningkat kepada 30,708 pada tahun 2008. Tahun 2009 pula 
jumlahnya meningkat kepada 68,455 orang, manakala sehingga Ogos lalu 
jumlahnya ialah 105,464 orang blogger. 
"Komuniti blogger Nuffnang meningkat
 dengan pantas dan ini menunjukkan blog menjadi medium pengiklanan yang 
mendapat sambutan hangat daripada klien pengiklan. Ia menjadi pilihan 
baru selain medium utama iaitu media cetak dan elektronik. 

"Bagaimanapun, untuk berjaya sebagai blogger yang berpendapatan tinggi, seseorang itu mestilah bekerja keras dan mewujudkan blog atas sebab yang betul. Ini kerana sekiranya blog diwujudkan semata-mata untuk mencari keuntungan, ia tidak akan berjaya," katanya.
Anda dibenarkan ambil apa sahaja kandungan dalam blog ini.Happy blogging.
Kredit