TIDAK berapa lama dulu, seorang rakan
menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu
negara. Beliau koma beberapa hari tetapi pembedahan berjaya dilakukan.
Dia kembali sihat, cuma ada kesan parut di dada.
Namun, misteri masih timbul dan sehingga
sekarang sukar dijawab mengenai ‘kehadiran’ orang yang sudah lama
meninggal dunia di sisinya ketika koma.
“Bayangkan, sepanjang tempoh saya berada dalam keadaan
koma, saya ‘dijaga’ oleh arwah ayah yang duduk di sebelah katil saya.
Kalangan ‘pelawat’ yang datang pula terdiri daripada anggota keluarga
saya yang semuanya sudah meninggal dunia,” ceritanya.
Beliau tidak pasti sama ada ia satu
mimpi, mainan dalam kepala atau itulah berlaku pada seseorang yang
berada dalam keadaan ‘antara hidup dan mati’ – koma. Hatta, hanya orang
yang duduk dalam alam roh saja boleh bertemu roh (orang yang sudah
meninggal dunia).
Sambungnya lagi: “Apabila saya mengerang
kesakitan, arwah bapa saya akan mengurut belakang saya, sambil memberi
kata-kata semangat berbunyi: ‘Tak apa, ayah ada untuk bantu’, ‘sabar,
lepas ini baiklah tu’. Akhirnya, arwah bapa mengajak saya mengikutnya
pulang.”
Menurut rakan itu lagi, beberapa minggu
selepas keluar dari IJN, beliau balik ke kampungnya dan kebetulan
seorang ustaz yang juga pernah menjadi gurunya datang menziarah.
“Ustaz itu tanya, sama ada saya ada
mengalami sesuatu (macam mimpi) ketika menjalani pembedahan dan dalam
keadaan koma. Maka, saya ceritalah pengalaman saya itu tetapi beliau
tidak terkejut. Malah kata beliau, jika saya ikut kehendak arwah bapa
yang mengajak saya pulang bersamanya, ia bermakna saya akan
‘mengikutnya ke dunia lain’ juga (meninggal dunia). Namun, takdir belum
menetapkan ajal saya,” katanya.
Ada yang kata, sebab itu apabila
seseorang baru sedar daripada koma atau pengsan, dia akan meracau dan
pelbagai kata-kata terkeluar daripada mulut dan sesetengahnya lucu atau
tidak masuk akal termasuk menyebut perkara yang bukan-bukan seperti
memanggil nama orang yang sudah meninggal dunia.
Tun Dr Mahathir Mohamad
selepas 24 jam selesai menjalani pembedahan pintasan jantung kali kedua
di IJN, pernah mengeluarkan kata-kata lucu kepada isterinya, Tun Dr
Siti Hasmah Mohamed Ali.
“Selepas sedarkan diri, beliau (Dr
Mahathir) sempat berjenaka dan menanyakan beberapa perkara lucu kepada
ibu (Dr Siti Hasmah),” kata anaknya, Mokhzani ketika itu tetapi tidak
menjelas lanjut perkara lucu yang dimaksudkan.
Ada satu lagi misteri, yang biasanya
berlaku dalam masyarakat Melayu ialah seseorang yang akan meninggal
dunia, menyebut nama-nama mereka yang sudah lama meninggal dunia.
Biasanya kejadian seumpama ini hanya disedari selepas seseorang itu
meninggal dunia.
Cerita pula seorang rakan bernama Osman:
“Arwah bapa mentua saya, kerap kali menyebut nama ahli keluarga lain
yang sudah lama meninggal dunia. ‘Si anu’ mengajak saya mengikutnya…..
Itu berlaku kira-kira enam bulan sebelum dia meninggal dunia. Ada juga
antara kami menganggap kenyataan itu sebagai nyanyuk.”
Malah ada juga cerita menyatakan orang
yang baru meninggal dunia, masih berupaya untuk mengenali siapa yang
datang menziarahi dan begitu juga apabila arwah sudah berada di liang
lahad.
Bagaimanapun, pensyarah Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zahazan Mohamed ketika diminta
pandangannya mengenai pendapat bahawa jenazah (orang sudah mati) boleh
melihat mereka yang datang menziarah, berkata al-Qurtubi dalam
At-Tazkirah menjelaskan, orang mati nampak orang yang melaluinya.
“Orang dah mati diberi peluang oleh Allah
untuk tengok orang yang hidup,” katanya dan menyatakan firman Allah
yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad). Beramallah kamu (akan
segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang
beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan
kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara ghaib dan yang nyata, kemudian
Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu kerjakan.” (Surah at-Tawbah,
ayat 105).
Malah katanya, orang yang sudah mati
diceritakan berdoa kepada Allah apabila ada di dunia ini yang hendak
mati, meminta supaya jangan dicabut dulu nyawa orang itu kerana dia
belum sedia hendak mati disebabkan amal yang kurang.
“Roh ini ada tiga keadaan dan satu
daripadanya ialah roh berhubung sesama mereka tanpa had, maknanya antara
roh sesama roh boleh berhubung. Contoh macam kita mimpi berjumpa roh
lain atau pergi ke satu tempat.
“Begitu juga apabila kita berjumpa dengan
seseorang, rasa macam mudah hendak kenal dan selesa. Maknanya, roh pun
buat kajian mengenai orang yang selari dengan dia dan mudah bertolak
ansur. Ini serupa dengan keadaan di mana ada orang yang kita jumpa
tetapi tidak boleh ‘ngam’. Orang nak meninggal ini Allah bagi kelebihan.
Sebab itu ada yang sedang nazak kita dengar dia sebut nama orang yang
sudah meninggal dunia,” jelasnya.
Ibn al-Qayyim dalam Kitab ar-Ruh
menyatakan: Apabila seseorang menziarah kubur, orang dalam kubur
mengenali orang yang datang dan mendengar suara mereka. Mereka menjadi
gembira dan membalas salam orang yang datang. Ini bukan untuk orang yang
mati syahid saja, malah untuk semua orang mati dan tidak terhad
waktunya.
Ada juga pendapat menyatakan bahawa
kebiasaannya orang tua akan menyebut nama ahli keluarga lain yang sudah
meninggal dunia, semata-mata kerana sudah nyanyuk, apabila memorinya
sudah tidak seimbang.
Penulis teringat tulisan Nuraina Samad
dalam blognya Julai tahun lalu mengenai bapanya, Tan Sri Abdul Samad
Ismail atau Pak Samad yang meninggal dunia, Khamis lalu.
Nuraina, bekas wartawan New Straits Times
(NST) berkata, mereka sekeluarga sudah biasa dengan bapa mereka yang
kerap terlupa dan ada ketikanya mereka berasakan yang Pak Samad bagaikan
berpura-pura lupa nama dan peristiwa tertentu.
“Ada ketikanya, kita rasa hairan dengan
sikap bapak. Bapak bertanya mengenai Kak Eda. ‘Lama Kak Eda tak datang’,
kata bapak kepada saya. Saya bagi tahu bapak, Kak Eda dah meninggal dan
bapak terkejut dengan menyatakan ‘tiada siapa bagi tahu saya.’
“Saya kata, bapak…. kan bapak dah tahu Kak Eda dah meninggal dunia
kerana kanser, cuma bapak tidak ingatnya sekarang, kata saya perlahan.
Bapak terdiam agak lama,” kata Nuraina. Kad Eda atau Noraida Samad, 51,
meninggal dunia pada 8 Mac tahun lalu kerana kanser.
Kira-kira sebulan sebelum sambutan 50
tahun Berita Harian Julai tahun lalu, penulis menghubungi Nuraina untuk
membuat temu bual khas dengan Pak Samad, sempena sambutan itu untuk
disiarkan dalam keluaran khas.
“Tak ada masalah, tetapi yang jadi
masalahnya ialah kadangkala bapak antara sedar dan tak sedar. Ok, macam
ini, you e-mel saja semua soalan pada saya. Apabila bapak berada dalam
keadaan sedar, saya sendiri akan bertanya dan catatkan. Bila siap akan
e-mel you semula,” kata Nuraina. Ternyata Nuraina tidak menghampakan.
Segala coretan dalam kolum ini, adalah
sebagai pengajaran akan kebesaran Allah dan betapa dunia ini hanya
pinjaman semata-mata. Wang berjuta, timbunan harta dan deretan gelaran,
semuanya untuk kesenangan dunia yang tidak akan dibawa bersama-sama ke
dunia lain, apabila tiba masanya nanti.
Semoga perkongsian artikel ini beri maklumat pada anda...Anda dibenarkan ambil apa sahaja kandungan dalam blog ini.Happy blogging.
Kredit