Tidak banyak, pasti tetap ada sebibit kebahagian untuk manusia yang menatap pelangi. Itu yang saya percaya, dan itu yang semua manusia percaya. Sehinggalah pada hari itu, menatap pelangi itu memberi makna lain kepada saya.
Pelangi itu bukan berkenaan bahagia tetapi berkenaan sesuatu yang membuatkan hati saya terjatuh ke daerah gusar.
Ibu.
Saya adalah ibu yang sangat bahagia. Saya fikir itulah semua perasaan ibu-ibu di dunia yang mempunyai anak perempuan yang cantik, dan beberapa bulan sebelumnya, saya melahirkan anak yang kedua yang juga cantik. Saya berasa diangkat ke langit hanya kerana status saya sebagai seorang ibu yang punyai dua anak yang meneduhkan hati.
Segala-galanya terlihat sempurna, sehinggalah pada suatu hari, anak perempuan saya yang cantik itu datang menemui saya, berkata sesuatu yang saya sangkakan bahagia.
Pelangi.
"Ibu, mengapa saya nampak pelangi?"
"Sayang, mana ada pelangi di sini," kata saya lembut. Rambutnya yang ikal saya belai penuh kasih.
"Betul ibu. Saya nampak pelangi," katanya lagi dengan jarinya menunjuk-nunjuk sesuatu.
Lama saya memerhatikan ke arah yang dia tunjuk, namun tetap sahaja kosong. Pelangi apa yang dilihat anak saya?
"Mana?" Saya terus bertanya.
"Itu, merah, biru, hitam..."
Mendengarkan sahaja itu terus ketawa kecil dan berkata, "Anakku, pelangi mana ada warna hitam. Kamu main-mainkan ibu, ya?"
"Betul, ibu. Saya nampak pelangi. Saya nampak pelangi." Suara anak saya mula terdengar hiba, dan pelupuk matanya mula berkolam minta dipercayai.
Untuk pertama kalinya, saya diam. Apabila anak sudah meminta mahu dipercayai, saya melihat perkara itu sebagai sesuatu yang serius. Saya memandang tepat ke arah matanya. Saya meniup perlahan-lahan dan dengan senyuman madu saya berkata, "Ibu sudah tiup mata kamu. Ada lagi pelangi?"
Anak kecil yang cantik itu mengejap-ngejapkan matanya. Kemudiannya dia menambah dengan menggosok-gosoknya.
"Ada lagi. Ada lagi pelangi. Ibu, pelangi ada lagi." Anak kecil itu mula menangis tersedu-sedu. Resah saya sudah menggunung. Pada waktu itu saya tahu seperkara, anak saya tidak main-main. Lama saya terdiam, dan terlintas juga dalam fikiran mungkin anak saya terkena makhluk halus dan perlu bantuan bomoh. Mujur, sesaat selepas fikiran itu datang, saya kembali rasional, dan pada waktu itulah saya berjumpa dengan doktor mata itu.
Mata.
Untuk saya, semua doktor adalah sama. Mereka adalah orang yang mengubati, dan mereka adalah orang yang mengubati bukan sekadar dengan peralatan dan ubat mereka, malah dengan kata-kata, dan pada hari itu saya bertambah yakin dengan apa yang saya percaya.
"Puan, mata anak puan normal, tidak ada apa-apa masalah," kata doktor itu sebaik mata anak saya diperiksa dengan alat yang tidak saya tahu namanya.
Saya memandang anak perempuan saya yang duduk di sebelah kiri. Rambutnya saya usap sebelum berkata, "Matamu bagaimana sayang?"
"Masih nampak pelangi," kata anak saya dengan wajah hiba.
"Dia masih nampak pelangi, doktor. Doktor pasti mata anak saya normal?" soal saya dengan wajah khuatir.
"Ya, normal." Jawapan dan senyum doktor itu masih belum meyakinkan saya, dan saya kembali bertanya, "Jadi bagaimana dia boleh nampak pelangi."
Untuk soalan itu, doktor itu diam seketika. Sempat kembali fikiran saya membenarkan, yang anak saya itu mungkin diganggu makhluk halus.
"Berapa bulan umur bayi (anak kedua) Puan?" soal doktor itu lembut.
Berkerut juga dahi saya mendengarkan soalan itu. Apa kaitan bayi saya dengan pelangi yang dilihat oleh anak perempuan saya?
"Lapan bulan," jawab saya tanpa meluahkan rasa sebenar hati.
Doktor itu mengangguk-angguk. Dan saya pula bertambah bingung. Saya kenal angguk itu, itu angguk yang punya jawapan, tetapi apa?
"Puan, memang mata anak Puan normal. Apa yang tidak normal adalah pada perasaannya," kata doktor itu dan membuatkan saya terkejut.
"Maksud doktor?" Kuat hati saya mengatakan doktor itu juga percaya yang anak saya diganggu makhluk halus. Sekiranya tidak, mengapa dia berkata perasaan anak saya tidak normal?
"Selama ini, anak Puan rapat dengan Puan. Saya percaya, ke mana-mana sahaja Puan pergi pasti anak ini mengikut ataupun Puan sendiri yang membawanya bersama. Itulah yang ada dalam perasaan anak ini, dia percaya yang dia akan sentiasa punya masa dengan ibunya. Masa yang tidak pernah terhad. Tetapi pada ketika Puan melahirkan anak kedua, anak ini mula berasa ada sesuatu yang tidak kena. Masa Puan yang sebelum ini bersama dia, sudah dibahagikan. Tetapi untuk anak kecil ini, itu bermaksud Puan sudah tidak punya masa dengan dia."
"Jadi?" sampuk saya segera. Entah mengapa saya berasa khuatir mendengarkan penerangan doktor itu.
"Maksud saya, anak Puan merasakan, Puan sudah tidak ada masa dengannya. Sayangnya, dia masih kecil dan anak kecil tidak tahu bagi meluahkan perasaannya. Dia cuma mengerti sesuatu perlu dilakukan bagi menarik perhatian Puan, dan dia pun mula terlihat pelangi. Dia tahu, ibunya sayangkan dia tetapi dia berasa sering dilupakan. Melihat pelangi adalah jalan bagi diingat kembali dan ia adalah jalan bagi mendapatkan perhatian," terang doktor itu, jelas dan bersungguh-sungguh.
Saya terpempan. Kata-kata doktor itu meresap ke hati. Aduhai anakku, kasihannya kamu. Hanya dengan melihat pelangi, kamu fikir dapat mendapatkan kasih sayang ibu. Anakku, kamu tidak perlu nampak apa-apa sayang, ibu sayangkan kamu. Cuma ibu yang terlupa ada kamu untuk selalu diberi masa, untuk selalu diberi perhatian.
Dan pada ketika itu jugalah saya peluk anak saya. Peluk dia kuat-kuat dengan air mata saya menitik.
"Maafkan ibu, sayang. Maafkan ibu. Ibu sayangkan kamu."
"Saya juga sayangkan ibu," balas anak saya, dan air mata saya semakin tumpah ruah.
- Artikel iluvislam.com
sumber