Sebuah kren tumbang di stadium brazil- Dua pekerja terbunuh kelmarin apabila sebuah kren tumbang di stadium yang akan menjadi arena perlawanan pembukaan pertandingan bola sepak Piala Dunia tahun depan.
Kejadian itu menyebabkan kerosakan pada bahagian luar stadium dan menimbulkan kembali persoalan sama ada Brazil bersedia menjadi tuan rumah acara itu apabila tiba masanya.
Pekerja pembinaan tergesa-gesa cuba menyiapkan stadium di Sao Paulo, bandar terbesar Brazil, itu menjelang tarikh akhir yang ditetapkan bulan depan oleh badan bola sepak dunia, Fifa.
Encik Andrez Sanchez, mantan presiden kelab bola sepak Corinthians, yang membantu menyelia pembinaan stadium itu, memberitahu wartawan sebuah kren tumbang ketika mengangkat sebahagian bumbung stadium untuk diletakkan di tempatnya dan menyebabkan bahagian bumbung itu runtuh.
Menurutnya, punca kemalangan masih belum jelas, sambil menambah sebarang kelewatan binaan yang mungkin berlaku "tidak merisaukan mereka".
Kemalangan di Arena Corinthians itu, yang dikenali penduduk tempatan sebagai Itaquerao, berlaku hanya seminggu sebelum undian untuk menentukan jadual pertandingan dan nama-nama besar pasukan bola sepak dijangka tiba di Brazil.
Persiapan pertandingan Piala Dunia 2014 mengalami pelbagai masalah, termasuk kos yang melebihi belanjawan, kelewatan pembinaan stadium, kemalangan, mogok pekerja dan bantahan jalanan.
Pertandingan yang akan berlangsung Jun tahun depan itu pernah dibayangkan sebagai acara mempersembahkan negara terbesar di Amerika Selatan.
Brazil juga bakal menjadi tuan rumah acara Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro.
Pihak pendakwa raya dan anggota kesatuan sekerja di Sao Paulo menuntut agar keadaan di tempat kejadian disiasat, sambil berkata bahawa kerja-kerja tidak patut diteruskan sehingga pihak berkuasa mengesahkan stadium itu selamat.
Encik Ricardo Trade, ketua pegawai eksekutif jawatankuasa penganjur Piala Dunia tempatan, berkata pihak berkuasa akan menentukan sama ada kerja-kerja binaan perlu dihentikan.
Artikel