November ini akan menyaksikan musim terbaru program realiti kanak-kanak nombor satu negara, Idola Kecil melalui siaran TV9. Pencarian bakat cilik ini telah menjelajah ke tiga lokasi iaitu Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Hampir 1000 orang telah mencuba nasib dan hanya 28 peserta telah berjaya ke peringkat saringan yang diadakan di Cheringin Resort, Janda Baik. Namun hanya 11 orang yang terbaik dipilih untuk mewarnai pentas Idola Kecil musim keenam (IK6).
“Tahun lepas dapat dilihat ramai yang datang untuk ujibakat, namun tahun ini lebih kepada kualiti kerana ramai yang berbakat. 11 orang yang terpilih ini bukan suka-suka tetapi mereka memang berbakat dan menyukarkan barisan juri untuk membuat pilihan,” ujar Kamarul Zariman Abdul Rahman, selaku penerbit program ketika temui di Platinum Movie Lounge, Cathay Cineplex, Kuala Lumpur pada Selasa.
Tambah Kamarul, bagi menampilkan kelainan untuk musim kali ini, Shah Indrawan Ismail atau Tomok dipilih menjadi tenaga pengajar. Manakala tenaga-tenaga pengajar lain yang ditampilkan untuk musim kali ini adalah Fadlita Mohd Taib (Cikgu Delly), AG Coco (Hezry Hafidz) dan Fuzzwayne (Fazrin Zainudin).
Manakala Alif Satar yang sinonim dengan rancangan Idola Kecil ini masih dikekalkan untuk musim terbaru ini. Sifatnya yang mudah mesra dengan peserta membuatkan dia begitu disenangi dan disukai ramai.
Antara para peserta yang terpilih mewarnai pentas Idola Kecil adalah Abdul Razzaq Muqri (12), Aby Norlila (12), Aida Syazlina (11), Ammierul Daneal (12), Danial Cheur (12), Muhammad Aliff (12), Nur Afreena (12), Nor Alleeya (10), Nur Emilia Natasha (11), Razin Aiman (12) dan Shafiqah Amira (12).
Idola Kecil akan mula bersiaran di TV9 menerusi episod pengenalan pada 9 November jam 8.30 malam yang merangkumi sedutan-sedutan pendek daripada sesi ujibakat, bootcamp sehinggalah ke pemilihan 11 orang finalis.
Bagi yang tidak berkesempatan untuk menyaksikan program Idola Kecil 6 ini di kaca televisyen sila layari www..tonton.com.my.
Kredit